SUDUT
CERPEN...
Tajuk: Walimatul Urus
* (karya ini dihasilkan semasa menghadiri Bengkel
Anyam anjuran SASA2000 pada 16/06/2001.)
Hasil: Cikgu Murni
Bunyi paluan kompang yang bergema di dewan itu
mula mengusik jiwaku. Rindu mula menerpa. Aku rindu akan kedamaian yang kini
tiada bertahta di hati. Aku mengorak langkah menuju ke arah kedua mempelai yang
sedang tersenyum. Keriangan yang dirasa sepatutnya aku rasai bersama si dia.
"Ina, Ina jangan khuatir. Abang berjanji
pada Ina. Abang akan menjaga Ina dengan baik. Abang akan curahkan segala kasih
sayang kepada Ina." Kata-kata Haris masih segar di ingatanku. Waktu itu,
aku rasakan yang aku akan dapat mencapai kebahagiaan lagi. Ya, kebahagiaan yang
telah hilang setelah ayah meninggalkan kami.
"Pergi! Berambus dari sini! Penipu!"
ibu menjerit. Aku tidak pernah melihat ibu semarah itu. "Ah! Diam kau!"
jawab ayah. Tangan keras kematu terangkat tinggi, melayang menampar pipi gebu
ibu. Waktu itu, aku seakan-akan terpaku di tempat dudukku. Tidak pernah ayah dan
ibu bertengkar sebegini hebat. Bekas tapak tangan ayah masih berbekas di pipi
ibu. Aku masih ingat lagi; ibu menangis tiada henti. Kecewa. Menyesal. Geram.
Marah. Sejak hari itu, ayah tidak pulang ke rumah. Apa yang aku tahu, ayah
sebenarnya sudah berkahwin dan sudahpun mempunyai seorang anak. Ibuku merupakan
isterinya yang kedua. Kasihan ibu, baru hari itu segala rahsia ayah terbongkar.
Aku bersalaman dengan pengantin perempuan yang
ternyata sungguh ayu berpakaian kebaya merah jambu. Kemudian, aku bersalaman dengan
pengantin lelakinya. Dari sinar matanya, tergambar perasaan yang hanya sahaja
diketahuiku. Biarlah ia menjadi rahsia. Aku mengukir senyuman kepadanya.
Ampangan manik-manik jernih seakan-akan tiada berdaya untuk menampung beratnya.
Dengan pantas, aku mengorak langkah…. mengorak langkah ke kenangan silam…
"Tidak! Tidak! Ina tidak percaya!"
kataku. "Maafkan ayah, Ina. Ayahlah yang menyebabkan Ina merana begini,"
ayahku berkata. Aku tidak percaya. Ayah sekali lagi merampas kebahagiaan dan
kedamaian yang selama ini aku impikan. Haris ialah abangku sendiri! Anak ayah
pada isteri pertamanya. Haris sendiri tergamam. Terkejut dengan penjelasan ayah.
Ibuku sendiri rebah ke lantai apabila aku menceritakan ibu perkara yang sebenar.
Kakiku membawa aku pergi. Aku tidak menyalahkan
Haris. Dia terpaksa mengikut kehendak ayah agar berkahwin dengan pilihan ayah.
Aku redha atas apa yang terjadi. Apa yang aku inginkan kini adalah mencari
kedamaian hati. Aku ingin pergi jauh dari majlis perkahwinan itu. Jauh…jauh………
Ampangan manik-manik jernih tiada dapat bertahan
lagi.

SUDUT
PUISI...
Tajuk: SAHABAT & MASA
DAN KETIKA
*(Puisi
yang bertajuk 'Sahabat' dan 'Masa Dan Ketika' pernah disiarkan
di Berita Harian pada tahun 1995. Ia juga antara puisi yang dibukukan
dalam buku Antologi Puisi Manik-Manik Hijau terbitan Kelab Coretan Remaja
Berita Harian pada 27 Ogos 1995. Untuk melihat keratan akhbarnya, sila
baca di Sudut Serbaneka di bawah.)
Hasil: Cikgu Murni |
SAHABAT
Apabila jendela kehidupan terbuka
sigap sahabatku
dengan segala kekentalan hatimu
nun jauh di sana
sebuah mahligai indah
menanti ketibaan kita
Apabila kaki mula melangkah
bawalah bersama senjata kehidupanmu
keimanan, kesabaran, kegigihan, akhlak mulia
setapak jangan kamu surut
seriak jangan kamu surut
berdepan tangan-tangan hitam
sedia menjatuhkan
Apabila ilmu diperolehi
jangan lupa pada Tuhan
apalah ilmu itu
kalau hanya sebatang pohon tanpa buah
atau permata untuk berbangga
Apabila mahligai sudah di
genggaman
jangan seperti bangau
hanya kasihkan kerbau
melupakan saat-saat genting
tika sama-sama di medan perjuangan.
---Selesai---
Antologi Manik-Manik Hijau, ms. 71, 1995
|
MASA DAN KETIKA
Dulu
aku sering bermimpi
berdiri tegak di menara itu
seorang gadis
penuh semangat
penuh filsafat
Gejolak masa membawaku ke sana
mengikut irama lagu ilmu
bergerak maju
menilai waktu
Gelodak hati
membawaku ke sana
mengejar cita-cita
membina tembok keyakinan
pada diri pada hati
kukuh tanpa alah
pada tangan-tangan meningkah
Masa dan ketika
saksi yang setia
akan seupayakucuba
membina paksi kebanggaan generasi
dengan dada dipenuhi ilmu
mutiara budi perhiasan diri
---Selesai---
Antologi Manik-Manik Hijau, ms. 72, 1995
|
Tajuk: k.i.y.s.A
*(Puisi
ini memenangi tempat kedua dalam Peraduan Menulis Sajak 1996 anjuran PBM
NUS. Panel pengadil yang mengadili peraduan ini ialah En. Suratman
Markasan dan En. Mohd Latiff Mohammad -2 orang sasterawan setempat yang
tidak asing lagi.)
Hasil: Cikgu Murni |
Aku asyik leka
mengejar bayang-bayang
ingin memiliki
tanpa ketahui
kehakikian hidup:
dikejar
semakin jauh
dikendung semakin berciciran
Aku asyik bermenung
menghitung embun di terik hari
meneliti atom di seberang sana
tanpa ketahuan
realitas hidup
detik
jarum
tertawa pergi
Tetapi...
jangan tertawakan aku
jangan menghina aku
jangan menuduh diri
yang tiada kau kenal siapa
|
Siapa aku?
Aku...cerminan pada dirimu
aku adalah kau
kau adalah aku
yang asyik dalam keasyikan
kerna keasyikan amat mengasyikkan
Mengertikah kau kini
antara kau dan aku tiada beza
bangunlah dari minpi enak
yang dikelilingi
kaca-kaca indah
kerna antara hakiki dan mimpi
bezanya tiada terkata
lebih luas dari benua Afrika
lebih dalam dari lautan Pasifik
Keasyikan amat
mengasyikkan
namun hidup kita
bak samudera luas
setiap detik
menggadai nyawa.
---Selesai---
|
Tajuk: D.E.G.U.P
*(Puisi
ini memenangi tempat ketujuh dalam Peraduan Menulis Sajak 1996 anjuran PBM
NUS. Panel pengadil yang mengadili peraduan ini ialah En. Suratman
Markasan dan En. Mohd Latiff Mohammad. Puisi ini pernah disiarkan di
Berita Harian ruangan Coretan Remaja pada 14 Feb 1997.)
Hasil: Cikgu Murni |
I
Lemasku di lautan debu
ombak ganas
menghempas kejam kehakikian hidup
mengikis belas karangan jiwa
mencabut putus segala cita
dari peta kepala
taman usaha.
II
Inikah realitas hidup
memijak menindih sang semut
menjunjung menyanjung si singa?
sedangkan telah diketahui
kewujudan kita
tanpa gelaran
tanpa seutas benang nipis membaluti tubuh
Semut, saudaraku
ini hidup kita
mengikat perut
bersengkang mata
merentasi salji malam
menahan renungan mentari
tanpa mengerti istilah
PENAT dan PUTUS ASA.

|
Singa, 'saudaraku'
inikah hidupmu?
berani di mata kecut
gagah pada kelemahan kita
menyiat-nyiat jantung harapan
tanpa mengerti istilah
KASIHAN dan IHSAN
keringkah lautan kasih?
Benar kata Pak Samad...
hidup ini kesengsaraan dan kematian
III
Nafasku
di dada malam
mesra membelai tubuh jiwa
kilauan permata menyejuk mata
memberi harapan yang dulu hilang
bagai bara disirami salji
Nafasku di dada malam
terdengar bisikan mesra
dari bibirNya...
* wa ani'buduunnii, haadzaa shiraathum mustaqiim.
* Nota: dari Surah Yaasin, ayat 61 yang bermaksud
"Sembahlah Aku, inilah jalan yang lurus."
----- selesai -----
|
Tajuk: Bondaku Sayang
*(Puisi
ini pernah disiarkan di Berita Harian ruangan Coretan Remaja pada 10 Mei
1995. Puisi ini dikarang khas sempena Hari Ibu, 14 Mei.)
Hasil: Cikgu Murni |
Zulmat hati bisa diterangi
Ancaman taufan dapat dihindari
Inginku berterima kasih
Namun jasamu tiada ternilai
Antara budimu dan pemberianku
Bak langit dengan bumi, tak dapat ditandingi
Bondaku
sayang
Ungkapan ini kusajikan
Agar hati terhibur selalu
Nanda sentiasa berdoa
Gembiralah di samping keluarga yang tercinta
----- selesai -----
Mei 1995 |
|
Tajuk: Guru
*(Puisi
ini pernah disiarkan di Berita Harian ruangan Coretan Remaja pada 4 Sep
1991. Puisi ini dikarang khas sempena Hari Guru dan ditujukan kepada semua
guru yang pernah mendidik diri ini.)
Hasil: Cikgu Murni |
Guru,
kerut derita di wajahmu
adalah bukti kesabaranmu ketika mendidik
dan membimbingku
Kegagalan adalah asam garam hidup ini
tetapi dikau tidak putus-putus menasikatiku
supaya menerima hidup ini dan terus berusaha
Dikau telah membawa cahaya murni di hatiku
cahaya yang tidak akan pudar
hingga akhir hayatku.
Guru,
nasihat yang diberikan kepadaku
adalah seperti mendapat setitik air
yang sangat diharapkan oleh seorang musafir
di padang pasir
Bimbingan yang diberikan kepadaku
adalah seperti mendapat sebatang tongkat
yang sangat diharapkan oleh seorang buta
Dikau telah meneran sekuat tenaga
untuk menjadikan aku seorang manusia
yang berguna. |
Guru,
azam yang kau sematkan di dadaku
akan kusimpan untuk peringatan
Aku akan sentiasa ingat nasihatmu
bahawa hidup ini adalah satu perjuangan
yang belum selesai
Kata-kataku ini tidak dapat
menggambarkan rasa kesyukuranku
kerana telah menemukan aku dengan
seorang insan yang bernama guru
Jasa dan baktimu akan tetap kukenang
dan akan kusimpan kenangan
suka dukaku sebagai seorang pelajar
di dalam lubuk hati kecilku ini
Aku akan sentiasa berdoa
semoga kita bertemu lagi...
----- selesai -----
Sept 1991
|
Tajuk: Kisah Si Hati
Hasil: Cikgu Murni |
I
Hati ini entah mengapa
begitu layu
haru biru
sayu dibawa bayu
Hati ini entah mengapa
sentiasa tiada ketentuan
bertemu gerbang kebahagiaan
hanya temui kesingkatannya
Hari ini
entah kali keberapa
hati ini melepaskannya
pergi membawa erti pemergiannya
|
II
Namun bayu
beralih ganti
seri pelangi
menyentuh kalbu
begitu berhati
Hati ini sekali lagi berentah
tapi entahnya berbeza
punya kepastian
memancarkan dian.

----- selesai ----- Nov 1997
|
Tajuk: Aku...Petani Seni
Hasil: Cikgu Murni |

Jika kau tidak berpuas hati
janganlah memekik dan merintih
pada cuping yang tebal
hingga suaramu garau
ditenggelami hilaian ketawa
Jika kau kecewa
janganlah menangis lama
katakanlah pada dirimu
hingga hatimu tersenyum bangga
Di dunia fana'
tiada yang patuh
kita hanya seorang petani
menabur budi di kebun berduri
menyiram air pada daun keladi
|
Katakanlah
padaNya
pasti akan didengarNya
pasti hatimu tenang
suara kembali merdu
Katakanlah pada dirimu:
Aku bangga menjadi aku
suaraku pernah
didengar
walau hanya seketika
Aku
bangga menjadi aku
seorang petani seni
bertemankan pena nan usang
Berfikir terus
mencangkul terus
menanam budi
walau cepat tersentuh
angin peristiwa
ribut pengalaman.
----- selesai ----- Nov 1997
|
Tajuk: Aidilfitri
*(Puisi
ini pernah disiarkan di Berita Harian ruangan Coretan Remaja pada 1 Mac
1995.)
Hasil: Cikgu Murni |
Sebulan di persinggahan
bahtera Ramadan akan belayar pergi
belayar sekadar menurut perintah
namun pasti akan kembali
suria pasti akan menjelma kembali
selagi belum kedengaran tiupan
sangkakala Malaikat Israfil
Desiran ombak membisik
kata-kata rindu
lambaian daun-daun hijau amat menyayukan
air mata rindu bergenang di kelopak mata
menemani pemergian bahtera suci
tanpa diketahui kepastian
pertemuan seterusnya |
Malam mengirim sang bulan
pagi mengundang sang suria
gemersik takbir
mengisi kesayuan di hari lebaran
mengenang keluarga tercinta
Doa dipanjat pada Yang Maha Esa
mengucap syukur atas nikmat yang dikurnia
sekeping hati yang telah dilentur
tunduk mengerjakan ibadah
biarpun bahtera Ramadan berlalu pergi.
----- selesai ----- Mac 1995
|
SUDUT
SERBANEKA...
Topik:
Bagaimana kita dapat meningkatkan prestasi anak-anak Melayu dalam pelajaran.
Pendapat ini pernah disiarkan di Berita Harian ruangan Coretan Remaja pada 1 Mei
1996.

Ulasan
buku 'Anak Din Biola', yang pernah disiarkan di Berita Harian ruangan Coretan
Remaja pada 24 Julai 1991.
Bengkel
Penulisan anjuran Kumpulan Angkatan Muda Sastera (Kamus) yang diadakan di Kelab
Masyarakat Kampung Ubi.
Unit
Sajak Kelab Coretan Remaja (KCR) Berita Harian telah mengorak langkah besar
dengan mengumpulkan sajak-sajak sekumpulan penulis muda dan menerbitkan buku
yang diberi nama Antologi Manik-Manik Hijau. Antologi Manik-Manik Hijau
telahpun dilancarkan pada 27 Ogos 1995. Berita mengenai penerbitan buku ini
disiarkan di Berita Harian pada 28 Jun 1995.