Tinta Guru
Home

 



Tajuk: Walimatul Urus 
*
(karya ini dihasilkan semasa menghadiri Bengkel Anyam anjuran SASA2000 pada 16/06/2001.)
Hasil: Cikgu Murni

Bunyi paluan kompang yang bergema di dewan itu mula mengusik jiwaku. Rindu mula menerpa. Aku rindu akan kedamaian yang kini tiada bertahta di hati. Aku mengorak langkah menuju ke arah kedua mempelai yang sedang tersenyum. Keriangan yang dirasa sepatutnya aku rasai bersama si dia.

"Ina, Ina jangan khuatir. Abang berjanji pada Ina. Abang akan menjaga Ina dengan baik. Abang akan curahkan segala kasih sayang kepada Ina." Kata-kata Haris masih segar di ingatanku. Waktu itu, aku rasakan yang aku akan dapat mencapai kebahagiaan lagi. Ya, kebahagiaan yang telah hilang setelah ayah meninggalkan kami.

"Pergi! Berambus dari sini! Penipu!" ibu menjerit. Aku tidak pernah melihat ibu semarah itu. "Ah! Diam kau!" jawab ayah. Tangan keras kematu terangkat tinggi, melayang menampar pipi gebu ibu. Waktu itu, aku seakan-akan terpaku di tempat dudukku. Tidak pernah ayah dan ibu bertengkar sebegini hebat. Bekas tapak tangan ayah masih berbekas di pipi ibu. Aku masih ingat lagi; ibu menangis tiada henti. Kecewa. Menyesal. Geram. Marah. Sejak hari itu, ayah tidak pulang ke rumah. Apa yang aku tahu, ayah sebenarnya sudah berkahwin dan sudahpun mempunyai seorang anak. Ibuku merupakan isterinya yang kedua. Kasihan ibu, baru hari itu segala rahsia ayah terbongkar.

Aku bersalaman dengan pengantin perempuan yang ternyata sungguh ayu berpakaian kebaya merah jambu. Kemudian, aku bersalaman dengan pengantin lelakinya. Dari sinar matanya, tergambar perasaan yang hanya sahaja diketahuiku. Biarlah ia menjadi rahsia. Aku mengukir senyuman kepadanya. Ampangan manik-manik jernih seakan-akan tiada berdaya untuk menampung beratnya. Dengan pantas, aku mengorak langkah…. mengorak langkah ke kenangan silam…

"Tidak! Tidak! Ina tidak percaya!" kataku. "Maafkan ayah, Ina. Ayahlah yang menyebabkan Ina merana begini," ayahku berkata. Aku tidak percaya. Ayah sekali lagi merampas kebahagiaan dan kedamaian yang selama ini aku impikan. Haris ialah abangku sendiri! Anak ayah pada isteri pertamanya. Haris sendiri tergamam. Terkejut dengan penjelasan ayah. Ibuku sendiri rebah ke lantai apabila aku menceritakan ibu perkara yang sebenar.

Kakiku membawa aku pergi. Aku tidak menyalahkan Haris. Dia terpaksa mengikut kehendak ayah agar berkahwin dengan pilihan ayah. Aku redha atas apa yang terjadi. Apa yang aku inginkan kini adalah mencari kedamaian hati. Aku ingin pergi jauh dari majlis perkahwinan itu. Jauh…jauh………

Ampangan manik-manik jernih tiada dapat bertahan lagi.

Tajuk: SAHABAT & MASA DAN KETIKA
*
(Puisi yang bertajuk 'Sahabat' dan 'Masa Dan Ketika' pernah disiarkan di Berita Harian pada tahun 1995. Ia juga antara puisi yang dibukukan dalam buku Antologi Puisi Manik-Manik Hijau terbitan Kelab Coretan Remaja Berita Harian pada 27 Ogos 1995. Untuk melihat keratan akhbarnya, sila baca di Sudut Serbaneka di bawah.)
Hasil: Cikgu Murni

SAHABAT

Apabila jendela kehidupan terbuka
sigap sahabatku
dengan segala kekentalan hatimu
nun jauh di sana
sebuah mahligai indah
menanti ketibaan kita

Apabila kaki mula melangkah
bawalah bersama senjata kehidupanmu
keimanan, kesabaran, kegigihan, akhlak mulia
setapak jangan kamu surut
seriak jangan kamu surut
berdepan tangan-tangan hitam
sedia menjatuhkan

Apabila ilmu diperolehi
jangan lupa pada Tuhan
apalah ilmu itu
kalau hanya sebatang pohon tanpa buah
atau permata untuk berbangga

Apabila mahligai sudah di genggaman
jangan seperti bangau
hanya kasihkan kerbau
melupakan saat-saat genting
tika sama-sama di medan perjuangan.

---Selesai---
Antologi Manik-Manik Hijau, ms. 71, 1995

MASA DAN KETIKA

DuluManik2HijauBk.jpg (615956 bytes)
aku sering bermimpi
berdiri tegak di menara itu
seorang gadis
penuh semangat
penuh filsafat

Gejolak masa membawaku ke sana
mengikut irama lagu ilmu
bergerak maju
menilai waktu

Gelodak hati
membawaku ke sana
mengejar cita-cita
membina tembok keyakinan
pada diri pada hati
kukuh tanpa alah
pada tangan-tangan meningkah

Masa dan ketika
saksi yang setia
akan seupayakucuba
membina paksi kebanggaan generasi
dengan dada dipenuhi ilmu
mutiara budi perhiasan diri

---Selesai---
Antologi Manik-Manik Hijau, ms. 72, 1995

Tajuk: k.i.y.s.A
*
(Puisi ini memenangi tempat kedua dalam Peraduan Menulis Sajak 1996 anjuran PBM NUS. Panel pengadil yang mengadili peraduan ini ialah En. Suratman Markasan dan En. Mohd Latiff Mohammad -2 orang sasterawan setempat yang tidak asing lagi.)
Hasil: Cikgu Murni


Aku asyik leka
mengejar bayang-bayang
ingin memiliki 
tanpa ketahui
kehakikian hidup:

     dikejar semakin jauh
     dikendung semakin berciciran

Aku asyik bermenung
menghitung embun di terik hari
meneliti atom di seberang sana
tanpa ketahuan
realitas hidup

     detik jarum
     tertawa pergi

Tetapi...
jangan tertawakan aku
jangan menghina aku
jangan menuduh diri
yang tiada kau kenal siapa

Siapa aku?
Aku...cerminan pada dirimu
aku adalah kau
kau adalah aku
yang asyik dalam keasyikan
kerna keasyikan amat mengasyikkan

Mengertikah kau kini
antara kau dan aku tiada beza
bangunlah dari minpi enak
yang dikelilingi
kaca-kaca indah
kerna antara hakiki dan mimpi
bezanya tiada terkata
lebih luas dari benua Afrika
lebih dalam dari lautan Pasifik

Keasyikan amat mengasyikkan
namun hidup kita
bak samudera luas
setiap detik
menggadai nyawa.

---Selesai--- 

Tajuk: D.E.G.U.P
*
(Puisi ini memenangi tempat ketujuh dalam Peraduan Menulis Sajak 1996 anjuran PBM NUS. Panel pengadil yang mengadili peraduan ini ialah En. Suratman Markasan dan En. Mohd Latiff Mohammad. Puisi ini pernah disiarkan di Berita Harian ruangan Coretan Remaja pada 14 Feb 1997.)
Hasil: Cikgu Murni

I
Lemasku di lautan debu
ombak ganas  
menghempas kejam kehakikian hidup
mengikis belas karangan jiwa
mencabut putus segala cita
dari peta kepala 
taman usaha.

II
Inikah realitas hidup
memijak menindih sang semut
menjunjung menyanjung si singa?
sedangkan telah diketahui
kewujudan kita
tanpa gelaran
tanpa seutas benang nipis membaluti tubuh

Semut, saudaraku
ini hidup kita
mengikat perut
bersengkang mata
merentasi salji malam
menahan renungan mentari
tanpa mengerti istilah
PENAT dan PUTUS ASA.

Singa, 'saudaraku'
inikah hidupmu?
berani di mata kecut
gagah pada kelemahan kita
menyiat-nyiat jantung harapan
tanpa mengerti istilah
KASIHAN dan IHSAN
keringkah lautan kasih?

Benar kata Pak Samad...
     hidup ini kesengsaraan dan kematian

III
Nafasku
di dada malam
mesra membelai tubuh jiwa
kilauan permata menyejuk mata
memberi harapan yang dulu hilang
bagai bara disirami salji

Nafasku di dada malam
terdengar bisikan mesra
dari bibirNya...
* wa ani'buduunnii, haadzaa shiraathum mustaqiim.

* Nota: dari Surah Yaasin, ayat 61 yang bermaksud "Sembahlah Aku, inilah jalan yang lurus."

----- selesai ----- 

Tajuk: Bondaku Sayang
*(Puisi ini pernah disiarkan di Berita Harian ruangan Coretan Remaja pada 10 Mei 1995. Puisi ini dikarang khas sempena Hari Ibu, 14 Mei.) 
Hasil: Cikgu Murni


Zulmat hati bisa diterangi
Ancaman taufan dapat dihindari
Inginku berterima kasih
Namun jasamu tiada ternilai
Antara budimu dan pemberianku
Bak langit dengan bumi, tak dapat ditandingi

Bondaku sayang
Ungkapan ini kusajikan
Agar hati terhibur selalu
Nanda sentiasa berdoa
Gembiralah di samping keluarga yang tercinta

----- selesai ----- Mei 1995

Tajuk: Guru
*(Puisi ini pernah disiarkan di Berita Harian ruangan Coretan Remaja pada 4 Sep 1991. Puisi ini dikarang khas sempena Hari Guru dan ditujukan kepada semua guru yang pernah mendidik diri ini.) 
Hasil: Cikgu Murni

Guru,
kerut derita di wajahmu
adalah bukti kesabaranmu ketika mendidik
dan membimbingku
Kegagalan adalah asam garam hidup ini
tetapi dikau tidak putus-putus menasikatiku
supaya menerima hidup ini dan terus berusaha
Dikau telah membawa cahaya murni di hatiku
cahaya yang tidak akan pudar
hingga akhir hayatku.

Guru,
nasihat yang diberikan kepadaku
adalah seperti mendapat setitik air
yang sangat diharapkan oleh seorang musafir
di padang pasir
Bimbingan yang diberikan kepadaku
adalah seperti mendapat sebatang tongkat
yang sangat diharapkan oleh seorang buta
Dikau telah meneran sekuat tenaga
untuk menjadikan aku seorang manusia
yang berguna.

LHPS.jpg (158823 bytes)Guru, 
azam yang kau sematkan di dadaku
akan kusimpan untuk peringatan
Aku akan sentiasa ingat nasihatmu
bahawa hidup ini adalah satu perjuangan 
yang belum selesai

Kata-kataku ini tidak dapat
menggambarkan rasa kesyukuranku
kerana telah menemukan aku dengan
seorang insan yang bernama guru
Jasa dan baktimu akan tetap kukenang
dan akan kusimpan kenangan
suka dukaku sebagai seorang pelajar
di dalam lubuk hati kecilku ini

Aku akan sentiasa berdoa 
semoga kita bertemu lagi...

----- selesai ----- Sept 1991

Tajuk: Kisah Si Hati
Hasil: Cikgu Murni

I
Hati ini entah mengapa
begitu layu
haru biru
sayu dibawa bayu

Hati ini entah mengapa
sentiasa tiada ketentuan
bertemu gerbang kebahagiaan
hanya temui kesingkatannya

Hari ini
entah kali keberapa
hati ini melepaskannya
pergi membawa erti pemergiannya

II
Namun bayu
beralih ganti
seri pelangi
menyentuh kalbu
begitu berhati

Hati ini sekali lagi berentah
tapi entahnya berbeza
punya kepastian
memancarkan dian.


----- selesai ----- Nov 1997

Tajuk: Aku...Petani Seni
Hasil: Cikgu Murni

Jika kau tidak berpuas hati
janganlah memekik dan merintih
pada cuping yang tebal
hingga suaramu garau
ditenggelami hilaian ketawa

Jika kau kecewa
janganlah menangis lama
katakanlah pada dirimu
hingga hatimu tersenyum bangga

Di dunia fana'
tiada yang patuh
kita hanya seorang petani
menabur budi di kebun berduri
menyiram air pada daun keladi

Katakanlah padaNya
pasti akan didengarNya
pasti hatimu tenang
suara kembali merdu

Katakanlah pada dirimu:
     Aku bangga menjadi aku
          suaraku pernah didengar
               walau hanya seketika

     Aku bangga menjadi aku
          seorang petani seni
               bertemankan pena nan usang

Berfikir terus
mencangkul terus
menanam budi
walau cepat tersentuh
angin peristiwa
ribut pengalaman.

----- selesai ----- Nov 1997


Tajuk: Aidilfitri
*(Puisi ini pernah disiarkan di Berita Harian ruangan Coretan Remaja pada 1 Mac 1995.) 
Hasil: Cikgu Murni


Sebulan di persinggahan
bahtera Ramadan akan belayar pergi
belayar sekadar menurut perintah
namun pasti akan kembali
suria pasti akan menjelma kembali
selagi belum kedengaran tiupan
sangkakala Malaikat Israfil

Desiran ombak membisik kata-kata rindu
lambaian daun-daun hijau amat menyayukan
air mata rindu bergenang di kelopak mata
menemani pemergian bahtera suci
tanpa diketahui kepastian
pertemuan seterusnya

Malam mengirim sang bulan
pagi mengundang sang suria
gemersik takbir
mengisi kesayuan di hari lebaran
mengenang keluarga tercinta

Doa dipanjat pada Yang Maha Esa
mengucap syukur atas nikmat yang dikurnia
sekeping hati yang telah dilentur
tunduk mengerjakan ibadah
biarpun bahtera Ramadan berlalu pergi.

----- selesai ----- Mac 1995

 



KCR_topik.gif (536342 bytes)Topik: Bagaimana kita dapat meningkatkan prestasi anak-anak Melayu dalam pelajaran. Pendapat ini pernah disiarkan di Berita Harian ruangan Coretan Remaja pada 1 Mei 1996.

 

 

KCR_ulasansaj.jpg (281797 bytes)KCR_ulasan.jpg (1400564 bytes)Ulasan buku 'Anak Din Biola', yang pernah disiarkan di Berita Harian ruangan Coretan Remaja pada 24 Julai 1991.

 


KCR_bengkel.jpg (974308 bytes)Bengkel Penulisan anjuran Kumpulan Angkatan Muda Sastera (Kamus) yang diadakan di Kelab Masyarakat Kampung Ubi.

 

 

Manik2_Hijau.jpg (2465092 bytes)Unit Sajak Kelab Coretan Remaja (KCR) Berita Harian telah mengorak langkah besar dengan mengumpulkan sajak-sajak sekumpulan penulis muda dan menerbitkan buku yang diberi nama Antologi Manik-Manik Hijau. Antologi Manik-Manik Hijau telahpun dilancarkan pada 27 Ogos 1995. Berita mengenai penerbitan buku ini disiarkan di Berita Harian pada 28 Jun 1995.